Thursday, March 3, 2011

Pencuri Mengajar Mengamalkan Ayat Kursi


Hadis sahih Bukhari, daripada Abu Hurairah ra, katanya:

Rasulullah S.A.W telah menugaskan saya menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Kemudian satu hari telah datang sessorang lalu diambilnya segenggam makanan. Saya telah menangkap orang itu dan berkata kepadanya, "Hai pencuri nanti akan aku adukan perkara ini kepada Rasulullah S.A.W".

Pencuri berkata, "Saya amat memerlukan makanan ini kerana saya mempunyai keluarga dan keperluan yang amat sangat".

Kata Abu Hurairah: Oleh kerana hal ini, saya telah melepaskan si pencuri itu. Esok pagi Nabi S.A.W bertanya, "Hai Abu Hurairah, apa yang engkau telah buat terhadap tawanan engkau malam tadi?" Jawabku, "Ya Rasulullah, katanya dia amat sangat memerlukannya, dan dia mempunyai keluarga. Jadi saya berasa kasihan lalu melepaskan dia".

Nabi bersabda, "Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan dia akan datang lagi".

Saya pun yakin dia akan datang lagi, kerana kata-kata Rasulullah S.A.W itu, lalu saya intip dia. Memang benar, dia datang lagi, dan diambilnya segenggam makanan. Terus saya tangkap dia, sambil berkata, "Nanti ku adukan engkau kepada Rasulullah".

Katanya, "Lepaskan saya. Saya sangat memerlukannya, dan saya mempunyai keluarga. Saya tidak akan buat lagi".

Saya berasa kasihan, lalu saya lepaskan dia. esok pagi-pagi Rasulullah S.A.W bertanya saya lagi, "Hai Abu Hurairah, apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?". Saya jawab, "Ya Rasulullah, katanya dia sangat memerlukannya, dan dia mempunyai keluarga. Saya berasa kasihan dan saya lepaskan dia".

Nabi bersabda, "Sebenarnya dia berdusta kepadamu, dan pasti dia akan datang lagi".

Saya intip dia lagi untuk kali ketiga. Memang benar dia datang lagi dan diambilnya segenggam makanan. Lantas saya tangkap dia seraya berkata, "Aku akan adukan engkau kepada Rasulullah S.A.W. Ini kali ketiga engkau kata tak akan datang lagi tetapi engkau datang juga".

Katanya, "Lepaskan saya, nanti saya ajarkan kamu kalimah-kalimah yang diberikan manfaat oleh Allah, apabila kamu membaca kalimah itu". Kataku, "Apakah kamilah itu".

Jawabnya, "Apabila kamu hendak tidur, bacalah Ayat Kursi. Maka kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga ke pagi".

Setelah itu saya pun lepaskan dia. Esok pagi Rasulullah S.A.W bertanya saya lagi, "Apa yang dibuat tawanan engkau malam tadi?". Saya jawab, "Ya Rasulullah, dia mengajarkan saya beberapa kalimah yang katanya diberi manfaat oleh Allah apabila seseorang itu membacanya. Kerana itu saya lepaskan dia".

Nabi bertanya, "Apakah kalimah itu?" Jawabku, "Dia mengatakan kepadaku apabila kamu hendak tidur bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir, dan katanya kamu akan sentiasa berada dalam peliharaan Allah, dan syaitan tidak akan mendekatimu hingga ke pagi".

Nabi S.A.w bersabda, "Sesungguhnya dia telah berkata benar kepadamu, padahal dia sangat pendusta. Tahukah engkau dengan siapa engkau bercakap selama tiga malam itu wahai Abu Hurairah?" Jawabku, "Tidak tahu Ya Rasulullah".

Sabda baginda, "Itulah Syaitan".

(Sumber: Shahih Bukhari , 1997, Klang Book Centre, Klang, hadis no. 1122, ms 316~319 (ii))

0 comments:

Post a Comment