Sunday, February 27, 2011

Balasan Orang Yang Tidak Membayar Zakat

Di antara hak-hak Allah yang utama adalah zakat yang merupakan hak harta. Orang-orang yang tidak menunaikan zakat harta mereka diseksa dengan harta itu dengan seksaan yang berat. Nas-nas telah mengkhabarkan bahawa penyiksaan mereka dengan harta itu bermacam-macam.

Pertama, bagi pemilik harta itu berwujud seekor ular botak yang memiliki dua bintik. Ular itu bergantung di leher pemiliknya dan mencengkam tulang rahang orang itu seraya berkata kepadanya: "Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu".

Dalam Sahih al-Bukhari diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Barangsiapa yang Allah berikan harta lalu tidak menunaikan zakatnya, pada hari kiamat hartanya akan diserupakan menjadi ular botak berbintik dua, yang dikalungkan padanya di hari kiamat, kemudian ular itu berkata, "Aku adalah hartamu, aku adalah simpananmu". Rasulullah S.A.W kemudian membaca (ayat):

"Janganlah orang-orang yang bakhil dengan kurnia yang Allah berikan kepada mereka mengira bahawa sikap itu baik bagi mereka, tetapi kebakhilan itu buruk bagi mereka. Akan dikalungkan pada mereka di hari kiamat apa yang mereka bakhilkan". (Ali 'Imran, ayat 180).

Kedua, harta itu sendiri, yang zakatnya tidak ditunaikan, didatangkan kepadanya. Jika harta itu berupa emas dan perak, maka dijadikan lempengan emas, kemudian pemiliknya disiksa dengan itu. Jika harta itu berupa haiwan, seperti unta, lembu dan kambing, haiwan itu ditimpakan kepada pemiliknya lalu ia disiksa dengan haiwan itu. Allah S.W.t berfirman:

"Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menafkahkannya di jalan Allah, berilah mereka khabar tentang azab yang pedih, pada hari emas dan perak itu dipanaskan di neraka jahanam, lalu dahi, rusuk dan punggung mereka diseterika dengan emas dan perak itu. Itulah harta yang kamu simpan untuk dirimu sendiri, maka rasakanlah apa yang telah kamu simpan itu". (At-Taubah, ayat 34~35).

Dalam Sahih Muslim diriwayatkan dari Abu Hurairah, yang mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda, "Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan hak hartanya itu, pada hari kiamat emas dan perak itu dijadikan lempengan yang dipanaskan di neraka jahanam, lalu rusuk, dahi dan punggung orang itu diseterika dengannya. Setiap kali lempengan itu dingin, dipanaskan kembali. Terus begitu dalam satu hari yang lamanya sama dengan 50 ribu tahun, sampai Allah memberi keputusan di antara hamba-hambanya, sehingga orang itu melihat jalannya ke syurga atau ke neraka".

0 comments:

Post a Comment